Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) memasuki sekolah pada hari pertama pembukaan sekolah 2023/2024 pada 20 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPM kemuka lima SOP jika berlaku kes buli di sekolah

SHAH ALAM, 14 NOV: Hubungi ibu bapa atau penjaga mangsa dan pelaku kes buli antara lima tatacara operasi piawai (SOP) dilaksana pihak sekolah setiap kali berlaku aduan mengenai kes tersebut.

Menteri pendidikan berkata pelajar terlibat juga akan dihantar ke klinik atau hospital kerajaan berhampiran sekiranya mengalami kecederaan fizikal atau gangguan emosi.

Menurut Fadhlina Sidek, pihak sekolah perlu memastikan aduan salah laku pelajar yang diterima direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid.

“Pihak sekolah perlu memastikan pelaksanaan SOP pelaporan dan tindakan menangani isu disiplin murid dengan satu hari aduan, tiga hari siasatan dan tujuh hari penyelesaian.

“Kemudian, pihak sekolah perlu mengemukakan lampiran awal kepada Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang ingin mengetahui apakah SOP sekolah setiap kali berlaku aduan mengenai kes membuli di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina yang juga ahli parlimen Nibong Tebal berkata kes buli yang tidak berkaitan dengan kesalahan jenayah akan dikendali pihak sekolah mengikut kategori kesalahan disiplin.


Pengarang :