Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop (kanan) bersama pengunjung menunjukkan baucar RM5 yang ditebus menggunakan aplikasi PLATS ketika Kempen PLATS Masuk Pasar (PMP) di Pasar pagi Sungai Buloh Jeram, Kuala Selangor pada 19 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kupon Digital Rahmah tingkat pendapatan peniaga pasar pagi

KUALA SELANGOR, 19 NOV: Kupon Digital Rahmah bernilai RM5 yang diedar sempena Kempen Platform Selangor (PLATS) membantu meningkat jualan peniaga pasar pagi Sungai Buloh, Jeram di sini.

Peniaga takoyaki, Janariah Ariffin, 56, berkata beliau mendaftar perniagaan yang dijalankannya secara sambilan sejak 10 tahun lalu di bawah PLATS minggu lalu.

Janariah Ariffin

“Saya berdaftar di PLATS minggu lalu dan masa itu memang tidak tahu berkaitannya kerana sekadar berniaga secara sambilan sahaja.

“Apabila berdaftar bawah PLATS dan terlibat dengan kempen ini, jualan menunjukkan peningkatan. Sebelum ini ramai beli, tetapi apabila berdaftar dengan PLATS lagi ramai beli,” katanya.

Sarida Hamdan

Beliau ditemui pada agihan kupon berkenaan sempena Kempen PLATS Masuk Pasar (PMP) yang disempurnakan Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop.

Penjual makanan bergoreng, Sarida Hamdan, 39, berkata ramai pengunjung pasar yang datang membeli menggunakan kupon selain ada juga yang bertanya kaedah penggunaannya.

“Pelanggan datang ada bertanya bagaimana hendak menggunakan kupon secara digital. Alhamdulillah ada kakitangan PLATS berhampiran gerai yang bantu beri penerangan.

“Cuma untuk di sini penggunaan digital agak sukar mungkin ramai warga emas dan jika secara fizikal lebih mudah,” katanya.

Pengunjung menunjukkan cara mengimbas kod QR untuk mendapatkan baucar RM5 ketika Kempen PLATS Masuk Pasar (PMP) di Pasar pagi Sungai Buloh Jeram, Kuala Selangor pada 19 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sebanyak 20,000 kupon Digital Rahmah bernilai RM5 akan diedar kepada pengunjung sempena PMP bermula hari ini.

Kempen selama dua bulan itu berlangsung di 12 lokasi terpilih seluruh negeri bagi menggalak peniaga berdaftar di PLATS selain meningkatkan promosi platform maya itu kepada orang ramai.


Pengarang :