Perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada 12 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lagi ahli parlimen pembangkang isytihar sokong PM

SHAH ALAM, 28 NOV: Ahli parlimen Bukit Gantang dari Perikatan Nasional (PN) mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengisytiharkan perkara itu ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).

“Dengan ini Bukit Gantang mengisytiharkan sokongan kepada Tambun (Anwar) sebagai perdana menteri ke-10 dan gagasan madani,” katanya.

Terdahulu Syed Abu Hussin mengajak ahli parlimen pembangkang untuk berunding sebaiknya dengan pihak kerajaan, seperti yang dilakukan blok itu ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri.

Beliau juga menyarankan Ismail serta Tan Sri Muhyidddin Yassin untuk menjalin kerjasama dengan Anwar bagi membina masyarakat madani.

Sebelum ini, empat ahli parlimen Bersatu dari Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar dan Labuan menyatakan sokongan kepada perdana menteri.

Ia bermula dengan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) pada 12 Oktober, diikuti Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) pada 30 Oktober, sementara Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) pada 8 November.


Pengarang :