EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail (kanan) mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin ketika meninjau harga barangan asas di pasar raya Mydin, Subang Jaya sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali pada 9 November 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lapan barangan terkawal dijual lebih murah sempena Deepavali

SUBANG JAYA, 9 NOV: Kerajaan Negeri berpuas hati terhadap harga jualan bagi lapan barangan yang dikuat kuasa dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali.

EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail berkata barangan tersebut seperti kelapa biji dan parut serta tomato juga didapati dijual lebih murah berbanding harga yang ditetapkan dalam skim berkenaan.

“Hari ini merupakan hari pertama pelaksanaan pematuhan skim dan kita adakan tinjauan di pasar raya Mydin bagi melihat sendiri harga dan barangan yang ditawarkan.

“Harga yang ditetapkan cukup baik, malah lebih rendah berbanding yang disaran. Kepada pengguna, boleh cari barangan asas di sini untuk nikmati penjimatan,” katanya ketika ditemui.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Mohd Zuhairi Mat Radey dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

Selain tiga barangan yang dinyatakan, produk lain ialah bawang merah besar import, bawang merah kecil India, cili merah, daging kambing biri-biru bertulang import dan kacang dal Australia.

Sebelum ini, pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Alimengumumkan SHMMP sempena Deepavali berkuat kuasa selama tujuh hari bermula 9 November.

Semakan harga boleh dibuat menerusi laman web https://www.kpdn.gov.my. dan orang ramai diminta melaporkan secara terus di mana-mana platform KPDN jika terdapat sebarang aduan.

 

 


Pengarang :