Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar (belakang, empat kanan) bergambar bersama penerima komputer riba pada program Jelajah Madani bersama menteri sumber manusia di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves, Gombak pada 5 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 1,000 peluang kerja ditawar dalam Jelajah Madani di Batu Caves

GOMBAK, 5 NOV: Lebih 1,000 peluang kerja ditawar kepada orang ramai melalui Jelajah Madani anjuran Kementerian Sumber Manusia di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves di sini hari ini.

Menterinya V Sivakumar berkata siri ketiga jelajah dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membabitkan penyertaan 10 majikan daripada pelbagai sektor.

Beliau menjelaskan karnival itu usaha berterusan kerajaan bagi memastikan pencari kerja termasuk golongan rentan negeri ini mendapat peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berucap pada program Jelajah Madani bersama menteri sumber manusia di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves, Gombak pada 5 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ini peluang berharga (bagi pencari kerja) mengejar impian mereka mendapat pekerjaan bersesuaian dengan kemahiran masing-masing. Diharap ia memberi impak positif kepada majikan dan pencari kerja,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian jelajah itu yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Sumber Manusia V Papparaidu.

Sivakumar juga memaklumkan seramai 314 daripada 697 individu yang menghadiri temu duga melalui dua siri jelajah sebelum ini di Taman Sentosa, Klang dan Pulau Sebang, Melaka berjaya ke proses tapisan kedua.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar melawat pameran selepas merasmikan program Jelajah Madani bersama menteri sumber manusia di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves, Gombak pada 5 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selain Perkeso, jelajah melibatkan agensi seperti HRDCorp, TalentCorp, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) serta Tabung Pembangunan Kemahiran termasuk Jabatan Pendaftaran Negara bagi memberi perkhidmatan dan pencerahan berkait isu kewarganegaraan.

Majikan terlibat antaranya Harvey Norman, Prasarana, Senheng, Chicken Rice Shop, Red Contact Sdn Bhd, Maha Mas Medic Service Sdn Bhd dan EliteTrax Marketing Sdn Bhd.

Turut diadakan pameran agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan, demonstrasi gubahan bunga, pembuatan lilin aroma terapi dan sabun serta dekorasi aising kek.


Pengarang :