AGENSISELANGOR

Lebih 150 vendor Zakat Selangor tandatangan ikrar bebas rasuah

SHAH ALAM, 30 NOV: Lebih 150 wakil syarikat vendor yang berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini memberi komitmen ke arah toleransi sifar rasuah dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Ketua Pegawai Korporat dan Projek Khas LZS Ariffa Ariffin berkata ikrar itu adalah antara usaha LZS untuk meningkatkan lagi nilai integriti dalam kalangan vendor supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan bebas daripada sebarang bentuk rasuah.

“Jika kita lihat rasuah boleh berlaku bukan sahaja melibatkan duit tetapi juga melalui perkara lain seperti penerimaan sumbangan dan penyalahgunaan kuasa.

“Jalinan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan satu pendekatan yang lebih menyeluruh dalam membanteras gelaja rasuah dari peringkat akar umbi,” katanya kepada pemberita di majlis lafaz ikrar IBR bersama vendor di sini hari ini.

Wakil vendor LZS Mohd Pouzi Cik Nik daripada Jakel Properties Sdn Bhd mengetuai majlis angkat sumpah sebelum menandatangani IBR dengan disaksikan oleh Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim.

Ariffa juga berkata bagi memperkukuh iltizam bebas rasuah, LZS mempertingkat tadbir urusnya terutama dalam proses perolehan temasuk tender dengan berterusan memberi pendedahan dalam kalangan vendor berkaitan Akta SPRM 2009 selain penekanan polisi amalan antirasuah oleh institusi itu.

“Sasaran ini selari dengan keperluan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah yang berjaya diperolehi LZS pada November 2022,” katanya sambil menambah terdapat 2,280 vendor yang berdaftar dengan LZS dan menyasarkan agar mereka dapat menandatangani IBR secara berperingkat.

-BERNAMA


Pengarang :