Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir (empat, kanan) dan Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Muhd Fikri Naim Harun (dua, kanan) bersama pembayar zakat dalam Program Dakwah Selebriti bersama Mufti di Laman Glenmarie Fasa 2A, Seksyen U1, Shah Alam pada 30 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 30 selebriti kongsi ilmu zakat bersama LZS, mufti

SHAH ALAM, 30 NOV: Lebih 30 artis tanah air terutama veteran dihimpunkan dalam program Dakwah Selebriti Bersama Mufti anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini.

Berlangsung di kediaman pasangan selebriti Zamarul Hisyam dan Diana Rafar di sini, program julung kali itu membuka ruang perkongsian berkait pengurusan kutipan dan agihan zakat kepada golongan terbabit.

Ketua Divisyen Kutipan LZS Muhd Fikri Naim Harun berkata program tersebut juga sebagai galakan kepada usahawan selebriti untuk menunaikan zakat, seterusnya berkongsi ilmu dan kefahaman sesama rakan artis lain.

“Selaku institusi yang diamanah mengutip dan mengagih zakat, kita mahu cari sinergi bersama rakan selebriti supaya mereka guna kelebihan sebagai artis bagi mempengaruhi masyarakat di luar sana untuk berzakat.

“Kita harapkan golongan artis yang dikumpulkan hari ini termasuk yang tidak dapat hadir menjadi pembuka pintu kebaikan untuk mengajak masyarakat berzakat sekali gus membantu asnaf di Selangor,” katanya ketika ditemui.

Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir (kanan) menyampaikan tazkirah dalam Program Dakwah Selebriti bersama Mufti di Laman Glenmarie Fasa 2A, Seksyen U1, Shah Alam pada 30 November 2023. Hadir sama Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Muhd Fikri Naim Harun. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selebriti yang hadir antaranya Wan Maimunah, Zaiton Sameon, Anne Abdullah, Erma Fatima, Mila Jirin dan Syatilla Melvin.

Dalam majlis itu, tiga syarikat menyerahkan zakat perniagaan dan pendapatan kepada Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir iaitu Bizmilla Catering Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mila Jirin berjumlah RM365,268.73.

Serahan turut dibuat Pengasas Bawal Sdn Bhd, Halyza Maysuri dan Mohd Rosli Awang (RM407,888) dan Pengasas Herbaworks Healthcare Sdn Bhd, Ikhwan Hasyidan Ilyas (RM212,760).

Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir diiringi Zamarul Hisham (dua, kanan) menyantuni selebriti yang hadir dalam Program Dakwah Selebriti bersama Mufti di Laman Glenmarie Fasa 2A, Seksyen U1, Shah Alam pada 30 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Muhd Fikri berkata peranan selebriti untuk menyebar luas kewajipan berzakat sangat dituntut bagi mencapai kutipan RM400 juta zakat yang diperlukan sebelum 31 Disember.

Jika kutipan itu gagal diraih, beliau menjelaskan beberapa bentuk bantuan untuk asnaf Al-Riqab, Al-Gharimin, Ibnu Al-Sabil dan Fisabilillah terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

“Setakat ini jumlah terkumpul zakat RM800 juta dan kita masih memerlukan RM400 juta lagi untuk menyantuni asnaf di Selangor. Justeru, kita harap rakan selebriti main peranan untuk capai sasaran ini.

“Komitmen bulanan kita kepada asnaf sekarang sekurang-kurangnya RM30 juta. Jika ikut bulanan yang diperoleh melalui potongan gaji, zakat pendapatan hanya sekitar RM30 juta. Sebab itu kita perlukan lebih lagi,” katanya lagi.


Pengarang :