Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (empat, kiri, barisan hadapan) bersama penerima sijil penghargaan pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C sempena Bulan Integriti Tahun 2023 di Maktab PDRM, Cheras pada 23 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lebih 40 laporan polis diterima berhubung ancaman bom palsu di sekolah

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 44 laporan berhubung ancaman bom palsu di seluruh negara sejak Selasa lalu sehingga 8 pagi tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata jumlah yang diterima itu melibatkan sekolah kerajaan, swasta dan antarabangsa.

Beliau berkata akaun e-mel yang menggunakan nama “Taktstorer” itu dikenal pasti berasal dari Cyprus dan alamat protokol Internet e-mel itu dari Finland yang sering berubah.

“Kami ada menghubungi Pengarah Pelajaran Negeri untuk sekolah yang mempunyai e-mel Google (untuk kenal pasti ancaman bom palsu),” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C sempena sambutan Bulan Integriti 2023 di Maktab PDRM, Cheras di sini hari ini.

Razarudin berkata polis telah menjalankan tindakan pembersihan keselamatan di sekolah terlibat yang kononnya ada ditanam bom di kawasan sekolah.

“Saya beri jaminan bahawa kepada ibu bapa, murid dan guru bahawa keselamatan mereka adalah keutamaan polis,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati negara lain juga turut mendapat ancaman bom palsu seperti Jamaica (dikenal pasti 70 panggilan bom palsu), Trinidad dan Tobago, Jerman serta Amerika Syarikat.

“Kita masih meneruskan siasatan dengan bantuan negara terlibat termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI),” katanya.

Sementara itu di Pulau Pinang, sebuah lagi sekolah iaitu sekolah menengah agama di Tasik Gelugor membuat laporan polis selepas menerima ancaman bom menerusi e-mel.

Ia menjadikan empat sekolah termasuk tiga sekolah antarabangsa di negeri ini menerima ancaman ugutan bom.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata sekolah itu menerima e-mel berhubung ancaman bom itu Selasa lepas namun baru menyedari e-mel berkenaan hari ini.

“Kami menerima satu lagi laporan polis ancaman bom menerusi e-mel hari ini dari guru sebuah sekolah di Tasek Gelugor pada 1.55 tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, PDRM menerima 37 laporan mengenai ancaman bom palsu yang dihantar melalui e-mel ke beberapa sekolah swasta dan kerajaan di seluruh negara.

Ancaman berkenaan dihantar menerusi dua akaun e-mel menggunakan nama “taktstorer” yang bermaksud pengganggu ketenteraman dalam Bahasa Jerman daripada penyedia perkhidmatan e-mel beeble.com.

– BERNAMA


Pengarang :