EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ketika sidang media Kempen Bangkit! Melawan Keganasan terhadap wanita dan Kanak-Kanak di Bangunan Annexe Shah Alam pada 20 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Lebih 4,000 kes keganasan rumah tangga dilapor dalam tiga tahun

SHAH ALAM, 21 NOV: Sebanyak 4,690 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Selangor bagi tempoh 2020 sehingga Ogos tahun ini.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata jumlah itu dilaporkan tertinggi berbanding negeri lain.

“Berdasarkan statistik polis, sebanyak 813 kes keganasan rumah tangga dilaporkan berlaku di Selangor bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

“Daerah yang mencatatkan kes tertinggi adalah di Gombak sebanyak 147 kes diikuti Kajang 91 kes dan Petaling Jaya 79 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pelancaran program Bangkit! Melawan Keganasan Terhadap Wanita Dan Kanak-Kanak bagi menyemarakkan lagi kempen 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender, semalam.

Kempen yang diadakan di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam perkembangan sama, Anfaal berkata sebanyak 123 panggilan diterima Talian SELamat dengan 72 berhubung keganasan rumah tangga dan 51 berkaitan hal umum bagi tempoh 1 November 2021 hingga 1 November lalu.

Sehubungan itu, orang ramai yang memerlukan bantuan berkaitan keganasan rumah tangga atau penderaan atau mengenali mereka yang perlu dibantu boleh menghubungi Talian SELamat di 03-6419 5027.

Pada 9 Jun 2021, Amirudin mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas itu sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0. Talian berkenaan yang beroperasi 24 jam dikendalikan kakitangan Wanita Berdaya Selangor (WBS) bersama kumpulan sukarelawan.

 


Pengarang :