Pengguna beratur menaiki Bas Smart Selangor ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 2 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 65 juta guna Bas Smart Selangor, negeri perkasa sistem pengangkutan awam

SHAH ALAM, 17 NOV: Lebih 65 juta penumpang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor sehingga September lalu, kata EXCO mobiliti.

Ng Sze Han berkata walaupun perkhidmatan Bas Smart Selangor mendapat sambutan menggalakkan jumlah penumpang bukanlah kayu ukur untuk menentukan keberhasilan kejayaan program.

“Ini kerana matlamat program Bas Smart Selangor bukanlah bertujuan mendapatkan keuntungan sebaliknya menggalakkan penggunaan pengangkutan awam oleh semua lapisan masyarakat.

“Selain itu dapat mengurangkan bebanan kewangan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang menggunakan perkhidmatan awam dalam urusan harian,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Hulu Bernam Mu’izzuddeen Mahyuddin mengenai Bas Smart Selangor.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri juga mahu sistem pengangkutan awam negeri terus diperkasa supaya menjadi sistem pengangkutan pilihan pertama untuk rakyat.

“Inisiatif Selangor Mobiliti yang diperkenalkan Kerajaan Negeri merupakan pendekatan pragmatik untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di Selangor.

“Selangor Mobiliti iaitu satu sistem pengangkutan awam yang menggabungkan semua aspek pengangkutan di bawah satu bumbung, dan dipandu dengan penganalisaan data,” katanya.

Sebelum ini, Sze Han berkata Kerajaan Negeri mengkaji semula laluan Bas Smart Selangor untuk diselaraskan dalam perancangan Kementerian Pengangkutan sekali gus meningkatkan kualiti pengangkutan awam di Lembah Klang.

Penelitian semula itu turut merangkumi penggunaan van transit atas permintaan (Van DRT) bagi menggantikan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit pada masa depan.


Pengarang :