Suasana pusat pemindahan sementara (PPS) SMK Dengkil pada 7 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 8,000 PPS diaktifkan, elak kelam-kabut depani banjir

SHAH ALAM, 28 NOV: Sebanyak 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan sebagai persediaan banjir susulan fenomena Monsun Timut Laut yang dijangka berlaku hingga Mac tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pusat berkenaan melibatkan 5,063 sekolah, dewan (2,457), masjid dan surau (572) dan pusat komuniti (389), yang mampu menempatkan 1.62 juta mangsa.

“Ini merupakan langkah segera bagi mengelakkan keadaan kelam-kabut apabila berlaku banjir. Jadi, persiapan dimulakan sekarang walaupun belum ada kesan parah di kawasan-kawasan itu,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran turut mengenal pasti 5,648 lokasi titik panas banjir di seluruh negara dengan tindakan segera dibuat bagi mengurangkan risiko termasuk penyelenggaraan.

“Secara keseluruhannya, seramai 66,169 pegawai dan anggota pelbagai cabang berada dalam keadaan siap siaga dengan sokongan tambahan 25,440 unit pelbagai aset,” kata Anwar lagi.

Pada 15 November, EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri mewarta 1,152 PPS sebagai persediaan menghadapi bencana banjir.

PPS juga dilengkapi garis panduan ditetapkan selain turut menguatkuasakan pengendalian untuk mangsa yang mengalami masalah kesihatan.

Sehingga 6 pagi tadi, seramai 676 mangsa daripada 194 keluarga ditempatkan di tujuh PPS meliputi Kelantan, Pahang, Selangor dan Terengganu,”

 

 


Pengarang :