Warga Bangladesh dihukum penjara 22 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada 15 November 2023 selepas didapati bersalah atas pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak tirinya sehingga melahirkan anak pada 2020. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lelaki dipenjara, sebat sumbang mahram anak tiri hingga lahir anak

SEREMBAN, 15 NOV: Seorang warga Bangladesh dihukum penjara 22 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak tirinya sehingga melahirkan anak, tiga tahun lalu.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh yang berusia 44 tahun bersalah pada akhir kes pembelaan dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 20 Februari 2020.

“Setelah mendengar mitigasi tertuduh dan pemberatan oleh pihak pendakwaan, tiada kompromi terhadap kes sumbang mahram. Tertuduh sepatutnya melindungi anak tirinya yang berusia 13 tahun (ketika kejadian).

“Tindakan tersebut umpama haruan makan anak dan meninggalkan trauma kepada mangsa,” katanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu melakukan sumbang mahram terhadap anak tirinya yang ketika itu berusia 13 tahun di Kampung Orang Asli Tekir, Mentera, Labu Batu 10, di sini, kira-kira 10.30 malam, 15 Februari 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Tung manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa rayuan bagi meringankan hukuman, tertuduh merayu hukuman ringan kerana dia mengalami sakit belakang akibat kemalangan.

Goh memohon hukuman setimpal kerana tertuduh telah menganiaya mangsa yang asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh dan anak yang dilahirkan mangsa adalah sepadan selain tiada bukti kukuh menunjukkan peniaga kain itu tidak berada di tempat kejadian.

“Anak tiri tertuduh telah kehilangan ibu kandungnya akibat kanser otak, oleh itu mangsa bergantung sepenuhnya ke atas tertuduh untuk dilindungi dan menjaga mangsa, bagaimanapun tertuduh telah mengambil kesempatan terhadap mangsa.

“Mangsa dianiaya sebanyak empat kali sehingga mangsa berumur 13 tahun. Bagi seorang kanak-kanak, kehidupannya sepatutnya fokus kepada pelajaran dan kegembiraan, bagaimanapun terjejas kerana mangsa kini ibu tunggal kepada anaknya sambil perlu meneruskan pelajaran,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :