Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Majlis pelancaran lori kompaktor dan imej korporat baharu KDEBWM di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Loji tenaga hijau urus sisa pepejal jangka dibina di Gombak Jun depan

SHAH ALAM, 14 NOV: Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SISGE) dijangka memulakan pembinaan fasa pertamanya di Gombak selepas Jun depan, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata pembinaan fasa pertama loji tenaga mesra alam dan komuniti itu turut dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur sokongan.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Dato’ Ramli Mohd Tahir pada majlis perasmian Pusat Kitar Semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam pada 19 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Projek fasa pertama bermula secara fizikal selepas mencapai ‘targeted financial closed (FC)’ pada Jun tahun depan dan jangka masa pembinan adalah 36 bulan.

“Segala perincian projek fasa pertama akan dimaklumkan kepada pihak awam menerusi proses kajian alam sekitar yang telus dan lengkap serta dijangka siap pada hujung tahun ini,” katanya dihubungi Selangorkini.

Tambahnya, bagi keseluruhan pembinaan loji tenaga itu dijangka menggunakan tanah seluas 245 ekar yang telah diperuntukan oleh Kerajaan Negeri.

“KDEBWM telah memilih YTL Power Generation International Berhad menerusi proses cadangan untuk permintaan sebagai rakan kongsi kolaborasi untuk perlaksanaan projek fasa pertama,” jelasnya.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 memaklumkan pembangunan empat fasa loji mampu membakar 2,400 tan sampah sehari dan menjana 130.5 MW tenaga elektrik.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, projek yang dibangunkan KDEBWM mengoptimumkan kos pengurusan dalam pengurusan sisa pepejal dengan mengekal kualiti dan kebersihan alam sekitar.

Menelan kos RM4.5 bilion melalui inisiatif pembiayaan swasta, kewujudan taman itu juga bakal menjadikan Selangor setanding negara maju dalam pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan.


Pengarang :