Wakil rakyat Batu Tiga yang juga Ketua Pemuda Amanah Selangor Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid ketika sidang media di Bangunan Annex, Shah Alam pada 14 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lunas hutang, negeri buktikan mampu urus kewangan dengan baik

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 15 NOV: Komitmen negeri melunaskan baki hutang dengan kerajaan persekutuan tahun depan dianggap langkah berani dan bukti pentadbiran itu mampu menguruskan sumber kewangan dengan baik.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga menjelaskan usaha komprehensif Dato’ Menteri Besar dan pasukan kerajaan dalam tempoh beberapa tahun berjaya mengurangkan baki hutang kepada RM19.20 juta.

“Kejayaan ini memperkuat kedudukan kewangan negeri, membebaskan lebih banyak sumber untuk pembangunan dan projek prorakyat.

“Belanjawan Selangor 2024 mencerminkan pencapaian yang membanggakan, menjadikan ia satu tonggak bersejarah bagi negeri ini,” kata Danial Al-Rashid ketika dihubungi.

Dalam pembentangan belanjawan Jumaat lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari menjangka pentadbiran negeri mampu melunaskan hutang tahun depan berdasarkan kebebasan kewangan cemerlang yang dimiliki.

Beliau berkata hutang RM19.20 juta terdiri daripada pinjaman Projek Bekalan Air sebanyak RM17.3 juta dan Skim Amanah Saham Selangor (ASAS) berjumlah RM1.89 juta.

 


Pengarang :