Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini melancarkan Kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat 2023 di Ibu Pejabat LZS, Seksyen 13 pada 27 November 2023. Foto : SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LZS terima zakat niaga tiga syarikat korporat lebih RM200,000

SHAH ALAM, 27 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan sebanyak RM252,971.59 daripada tiga syarikat korporat hari ini.

Syarikat tersebut adalah PWN Exvellence Sdn Bhd dengan jumlah sebanyak RM136,572.34, diikuti Agrobank Berhad (RM106,323.27) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) (RM10,075.98).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini turut mengucapkan terima kasih dan berharap ia menjadi pemangkin kepada syarikat atau individu lain untuk melaksanakan perkara sama.

“Terima kasih, mudah-mudahan perniagaan anda akan lebih maju. Semoga menjadi contoh kepada syarikat lain untuk tampil sebagai pengeluar zakat sekali gus memenuhi tuntutan kewajipan di sisi Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat 2023 di Ibu Pejabat LZS, Seksyen 13 di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, LZS turut menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM17.6 juta meliputi lima kategori.

Kategori tersebut adalah bantuan dermasiswa huffaz fakir miskin dan fisabilillah yang menerima RM15 juta diikuti bantuan ‘one-off’ wang saku institut pengajian tinggi (RM2.4 juta).

Manakala, bakinya turut diberi kepada bantuan bina rumah (RM126,000), bantuan baik pulih rumah kepada dua penerima (RM73,596) dan bantuan perubatan (RM35,900).


Pengarang :