Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) melancarkan kempen Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal Mais di Shah Alam pada 15 November 2023. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor 
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais lancar kempen kesedaran wang tidak patuh syariah, galak orang ramai sucikan harta 

SHAH ALAM, 15 NOV: Orang ramai digalak menyucikan harta menerusi Kempen Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengerusinya berkata kempen yang bermula hari ini hingga 13 Disember bertujuan mengajak orang ramai membersihkan harta supaya kehidupan dilalui penuh dengan keberkatan.

Menurut Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof kempen itu juga bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengurus harta secara bijaksana seperti dituntut oleh hukum syarak.

“Mais berharap masyarakat mempunyai kesedaran yang tinggi dalam memastikan setiap aktiviti atau perniagaan yang diceburi adalah bertepatan dengan hukum syarak.

“Wang tidak patuh syariah merupakan wang atau harta yang diperoleh daripada sumber haram seperti transaksi riba, hasil jualan barang curi, duit rasuah, hasil rompakan, duit loteri dan perlindungan insurans konvensional.

“Hasil daripada terimaan wang tidak patuh syariah ini, Mais akan gunakan untuk maslahah umum seperti bantuan pendidikan, perubatan dan pembinaan infrastruktur,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Abdul Aziz melancarkan kempen Majlis Perasmian Seminar Harta Halal Harta Berkat dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal Mais 2023 di sini.

Abdul Aziz menjelaskan Mais menyasarkan kutipan sebanyak RM2.5 juta terimaan wang tidak patuh syariah tahun ini berbanding RM1.8 juta pada 2022 dan RM1.5 juta (2021).

Orang ramai yang ingin melupuskan wang tidak patuh syariah boleh dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau pejabat agama Islam daerah Selangor atau melalui sistem bayaran dalam talian www.mais.gov.my.

Mais juga melantik Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai ejen kutipan wang tidak patuh syariah sejak tahun 2020 dan bayaran boleh dibuat di semua premis kaunter LZS atau e-Zakat Pay.

Untuk sebarang maklumat berhubung aktiviti kempen boleh mengikuti perkembangan di Facebook Mais.

 

 


Pengarang :