Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ditemui pada program serahan Jalur Gemilang dan ziarah merdeka Mais di lobi Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 28 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mais saran jawatankuasa khas kaji kuasa DUN gubal undang-undang Islam

SHAH ALAM, 17 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menggesa kerajaan persekutuan menubuh jawatankuasa khas untuk mengkaji kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal undang-undang lslam.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kajian itu termasuk mencadangkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Akta 355 berkaitan bidang kuasa jenayah syariah negeri.

Beliau menjelaskan saranan tersebut selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal lslam Malaysia dalam mesyuarat baru-baru ini.

“Mais sentiasa komited memperkasa perundangan Islam dan menyatakan komitmen serta mengharapkan persekutuan melibatkan Majlis Agama Islam Negeri untuk bersama jawatankuasa khas yang dibentuk.

“Ini untuk memastikan tindakan menyeluruh dapat dibuat bagi menyelesaikan isu kompetensi badan perundangan negeri dalam menggubal undang-undang Islam demi menjaga kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz turut bimbang gerakan tertentu yang secara halus cuba menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama negeri dan persekutuan melalui proses litigasi mahkamah.

Tegas beliau, perkara itu termasuk mempertikai bidang kuasa negeri dalam menggubal peruntukan undang-undang Islam yang kebanyakannya diamal sebelum pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kes peguam yang memohon mahkamah persekutuan membatal 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019, katanya, Mais menghormati prosiding mahkamah yang sedang berjalan.

“Mais menghormati prosiding mahkamah yang sedang berjalan dan kuasa Mahkamah Persekutuan dalam memutuskan perkara berkaitan pentadbiran keadilan.

“Namun, Mais berpendirian tindakan segera perlu diambil untuk mengelak pertikaian seperti kes ini berlaku lagi kerana ia hanya menjejaskan kuasa negeri berhubung agama Islam,” katanya.

Sebelum ini, peguam Nik Elin Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya memfail tindakan undang-undang untuk membatal 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Mahkamah persekutuan kemudian menetapkan 20 November bagi menyambung semula pendengaran petisyen peguam tersebut.


Pengarang :