Peserta Program Usrah Perdana Mualaf mendapatkan khidmat bantuan guaman syarie percuma yang disediakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Geno Hotel pada Program Usrah Perdana Mualaf pada 30 Julai 2022. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Mais tawar bantuan guaman syarie percuma, kendali 16 kes

SHAH ALAM, 13 NOV: Orang ramai khususnya penduduk Selangor yang layak boleh mendapatkan bantuan guaman syarie percuma disediakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Mais dalam kenyataan di Facebook berkata khidmat perkhidmatan itu membabitkan 16 jenis kes undang-undang syariah termasuk tuntutan pengesahan lafaz cerai, permohonan pengesahan rujuk, tuntutan penceraian, tuntutan fasakh dan tuntutan pengesahan cerai taklik.

“Selain itu, tuntutan khuluk/tebus talaq, tuntutan sabitan nusyuz, permohonan wali hakim/am, tuntutan wali enggan/engkar, permohonan faraq nikah dan pengesahan nikah.

“Ia termasuk permohonan pengesahtarafan anak dan permohonan/tuntutan kebenaran poligami (defendan sahaja).

“Tiga lagi perkhidmatan ialah tuntutan nafkah anak, tuntutan ubah perintah nafkah anak dan tuntutan tunggakan nafkah anak,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan info lanjut bantuan berkenaan boleh layari laman sesawang https://www.mais.gov.my atau hubungi talian 010-9460592 menerusi aplikasi WhatsApp.

Syarat kelayakan seperti berikut:

– Warganegara Malaysia
– Bermastautin di Negeri Selangor
– Jumlah pendapatan (gaji pokok + elaun) mestilah tidak melebihi RM3,000.00 sebulan
– Mengisi lengkap borang permohonan yang disediakan
– Lulus temuduga penilaian wajar


Pengarang :