Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Kongres Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 25 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Malaysia bakal negara pertama di dunia akhiri kemiskinan tegar akhir tahun ini

PUTRAJAYA, 26 NOV: Malaysia bakal menjadi negara pertama di dunia mengakhiri kemiskinan tegar akhir tahun ini, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keyakinan itu bersandarkan dasar dilaksana kerajaan yang memberi perhatian terhadap isu kebajikan rakyat khususnya kelompok misikin tegar.

“Kita mengutamakan dasar ke arah pemacuan ekonomi dengan pertumbuhan yang meyakinkan. Perhatian tetap terarah kepada isu keutamaan rakyat termasuk masalah sekolah dan klinik daif.

“Sebelum akhir tahun ini, Malaysia merupakan negara pertama di dunia mampu nokhtahkan kemiskinan tegar. Kemudian kita akan tumpu pada perumahan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, malam tadi.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Kongres Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 25 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada Mac lalu, kerajaan berazam menamatkan kemiskinan tegar di kalangan 130,000 ketua isi rumah di seluruh negara tahun ini dengan melaksanakan pelbagai program bantuan dan insentif.

Dalam pada itu, Presiden KEADILAN itu memaklumkan, kerajaan bakal menyedia peruntukan RM50,000 hingga RM100,000 kepada setiap kampung atau perumahan bagi memperkasa kawasan masing-masing.

Menerusi inisiatif itu, katanya, setiap lokaliti perlu menganjur atau memperkenalkan program sendiri berbanding yang dilaksana pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain sebelum ini.

“Selepas ini kita akan umum setiap kampung dan perumahan akan terima peruntukan sekurang-kurangnya RM50,000 hingga RM100,000 untuk tentukan apa progran yang mereka mahu cipta atau perkenal.

“Kita tidak mahu lagi ia ditentukan pakar atau PBT. Ia mungkin babit perbelanjaan RM1 bilion atau sehingga RM2 bilion atau RM3 bilion tetapi itu bukan masalah saya,” katanya sambil merujuk kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.


Pengarang :