Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyampaikan ucapan pada Pelancaran Kempen Sumbangan Perkhidmatan Awam Kepada Palestin Peringkat Kementerian Luar di Wisma Putra, Putrajaya pada 27 Oktober 2023. Foto BERNAMA –fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDANASIONAL

Malaysia guna pengaruh peringkat antarabangsa, main peranan aktif selesai kemelut Palestin

Oleh Rosmalis Anuar

PUTRAJAYA, 4 NOV: Malaysia akan terus menggunakan pengaruhnya di peringkat antarabangsa dan memainkan peranan aktif bersama-sama dengan negara lain dalam mencari jalan penyelesaian segera bagi kemelut di Gaza.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau akan melawat India esok dan seterusnya ke Qatar sebelum ke beberapa negara lain dalam usaha berterusan ke arah menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh rejim Israel.

“Mungkin ada yang anggap Malaysia sebagai sebuah negara kecil, tetapi dalam konteks pengaruh Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), G77, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Global South, nama Malaysia sentiasa diberikan keutamaan dan suara Malaysia seringkali diminta,” katanya ditemui dalam program Hari Wisma Putra, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali supaya Malaysia memainkan peranan yang lebih besar dengan menggalakkan negara lain untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Palestin.

Mengenai keputusan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang (RUU) berhubung sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin pada Rabu, Zambry berkata Malaysia sedang melihat langkah seterusnya yang boleh diambil bersama negara lain.

“Saya rasa ini adalah sesuatu yang perlu kita perhatikan secara serius kerana ia tidak hanya akan memberi kesan kepada Malaysia tetapi juga negara lain juga,” katanya.

Zambry sebelum ini berkata pihaknya akan melihat secara terperinci terlebih dahulu kandungan rang undang-undang berkenaan sebelum melaksanakan apa-apa tindakan susulan.

Lebih 9,000 rakyat Palestin terkorban dalam serangan tentera penceroboh Israel sejak 7 Oktober, manakala lebih 32,000 lagi cedera dan lebih 2,000 masih hilang.

– BERNAMA


Pengarang :