EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi mendengar taklimat oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat Mokhzani Muhamed dan Ketua Penolong Setiausaha Unit Pengurusan Bencana Negeri Mohd Ikram Rahimi berkenan situasi semasa pengurusan bencana di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Bangi pada 7 November 2023. Foto aplikasi X Najwan Halimi
EXCOSELANGOR

Mangsa bah di PPS SK Bangi terima bantuan pek makanan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 7 NOV: EXCO pengurusan bencana menyerahkan bantuan pek makanan kering dan keperluan asas kepada 83 mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Bangi di Hulu Langat, pagi tadi.

Mohd Najwan Halimi berkata beliau turut diberi taklimat berkenan situasi semasa pengurusan bencana di pusat pemindahan berkenaan.

“Pagi tadi saya luangkan masa melawat PPS SK Bangi di Hulu Langat yang menempatkan seramai 83 mangsa dari 19 keluarga yang terjejas akibat bah pada Ahad lalu.

“Saya turut menyerahkan bantuan pek makanan kering dan keperluan asas dari Kerajaan Negeri untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa yang berada di PPS,” tulis beliau menerusi aplikasi X.

Tambah Mohd Najwan, kerja-kerja pembersihan kediaman yang terjejas banjir juga telah dimulakan secara berperingkat.

“Alhamdulillah, kerja-kerja pembersihan kediaman yang terjejas banjir telah dimulakan secara berperingkat dengan dukungan dari pelbagai agensi termasuk pihak swasta,” katanya.

Semalam, Mohd Najwan melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil dan menasihati orang ramai supaya peka dengan kejadian banjir selain mengikut arahan pihak berwajib bagi mengelak insiden tidak diingini.

Berdasarkan rekod Unit Pengurusan Bencana Negeri jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 685 individu melibatkan 174 keluarga (setakat 8 pagi). Semua mangsa ditempatkan di 10 PPS.

Daripada jumlah berkenaan, mangsa paling ramai terkesan di Sepang membabitkan 498 individu diikuti Hulu Langat (87) dan Petaling (71) Hulu Selangor (13), Kuala Langat (11) dan Gombak (lima).


Pengarang :