Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis perasmian Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Penyerahan E-Baucar Buku Kepada Mahasiswa Selangor 2023 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 6 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Keluarga terjejas banjir terima bantuan kewangan RM500

HULU LANGAT, 6 NOV: Keluarga terjejas banjir di Selangor akan menerima bantuan kewangan RM500, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata respon dan maklum balas pantas turut diberikan bagi membantu operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita memang ada (peruntuk) RM500 kepada setiap (keluarga) mangsa terkesan,” katanya selepas melancarkan Tekad Pendidikan Kita Selangor: Penyerahan e-Baucar Buku Mahasiswa 2023 di Persada Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Amirudin berkata pihaknya sedang menunggu laporan berhubung langkah yang telah diambil pihak berkaitan bagi mengelak berlakunya insiden banjir.

“Contohnya di Kampung Chemperai (Sepang) ia antara kawasan yang memang lazim berdepan banjir. Pada 2021 antara isunya adalah ban pecah kali ini saya nak tengok adakah ban itu pecah sekali lagi atau tidak walaupun kita sudah ubah kaedah pembinaan.

“Selain itu, kita tengok (faktor banjir) juga berkait dengan jumlah hujan yang diterima. Setakat ini saya puas hati dengan (gerak kerja) daripada segi respon dan maklum balas menyelamat serta bantuan ke tempat pemindahan.

“Tapi belum puas hati apakah langkah telah diambil sebab saya nak tengok sejauh mana tempat yang biasa hotspot (banjir) itu telah diambil tindakan. Arahan kita sudah keluarkan sebulan lepas,” katanya.


Pengarang :