GOMBAK, 12 NOV: Amalan kunjung-mengunjung ketika musim perayaan perlu disuburkan untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Dato’ Menteri Besar berkata perayaan Deepavali termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua turut diraikan bersama masyarakat lain.
“Saya meneruskan tradisi musim perayaan Deepavali hari ini dengan ziarah 11 rumah untuk bertemu rakyat, kawan dan pimpinan parti (KEADILAN) yang beragama Hindu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/P-V-Subramaniam-Deepavali-5-500x333.jpg.webp)
“Hampir semua tempat yang saya kunjungi, saya lihat ia menjadi aktiviti masyarakat di kalangan jiran dan sahabat handai di kalangan lapisan masyarakat yang wajar diteruskan demi menjamin perpaduan di negeri ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Selangorkini.
Terdahulu, Amirudin bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad menziarahi Pengerusi Persatuan Penduduk Perkampungan India, V Subramaniam Verasamy di Kampung Baru Batu Caves, di sini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/P-V-Subramaniam-Deepavali-2-500x333.jpg.webp)
Amirudin meluangkan masa kira-kira 20 minit di kediaman itu dan menikmati juadah nasi minyak bersama ayam masak merah.
Selain beramah mesra, Amirudin yang juga ahli parlimen Gombak turut memenuhi permintaan tuan rumah serta tetamu yang mahu bergambar dan mengagih sumbangan duit raya kepada kanak-kanak.
Sementara itu, V Subramaniam berkata amalan kunjung-mengunjung yang dilakukan Amirudin ke rumah penduduk berbangsa India pada Deepavali perlu dijadikan contoh dan simbol mengeratkan perpaduan kaum di negeri ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/P-V-Subramaniam-Deepavali-9-500x333.jpg.webp)
“Ini kali kelima Dato’ Menteri Besar mengunjungi kediaman saya yang sudah menjadi tradisi ketika perayaan Deepavali.
“Saya gembira dapat hidang juadah enak seperti nasi minyak, ayam masak merah dan tosei yang dimasak ahli keluarga,” katanya.