Wakil pusat pemindahan sementara (PPS) menyampaikan bantuan toto sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada salah seorang mangsa terjejas banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Taman Gemilang, Sepang pada 5 November 2023. Foto Facebook MBI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBI salur bantuan awal ringan beban mangsa banjir tiga PPS

SHAH ALAM, 6 NOV: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalur bantuan awal kepada mangsa terjejas banjir yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua tanggungjawab sosial korporat dan komunikasi korporatnya berkata agihan sumbangan semalam meliputi 10 karton air mineral, lima kotak makanan kering dan 20 unit toto bagi setiap PPS.

“MBI sentiasa cakna dengan bencana yang menimpa rakyat Selangor. Diharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

PPS terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi, SK Semenyih dan Dewan Komuniti Taman Gemilang, Sepang yang kini menempatkan 145 mangsa membabitkan 38 keluarga.

Sementara itu, Ahmad Azri memaklumkan bantuan sama akan dihulur ke empat lagi PPS di Sepang dan Petaling hari ini yang menempatkan 434 mangsa daripada 119 keluarga.

Menurutnya, PPS itu Dewan Kampung Dato Ahmad Razali, Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jenderam Hilir, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil dan Dewan Serbaguna Camelia Height.

Setakat malam tadi, tujuh PPS beroperasi bagi menempatkan 579 mangsa daripada 157 keluarga akibat banjir susulan hujan berterusan yang melanda Hulu Langat, Sepang dan Petaling.


Pengarang :