Peserta orang kurang upaya (OKU) beraksi dalam sukan bocia sempena Karnival OKU MBPJ-KBS di Dewan D’Klana, SS7, Petaling Jaya pada 25 November 2023. Foto MBPJ
PBTSELANGOR

MBPJ-KBS anjur karnival kesan bakat baharu Para SUKMA 2024

SHAH ALAM, 27 NOV: Pencarian bakat baharu atlet untuk mewakili Selangor dalam kejohanan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 hujung minggu lalu menarik penyertaan 300 orang kurang upaya (OKU).

Program anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Dewan D’Klana, SS7, Petaling Jaya mempertaruh enam jenis sukan iaitu renang, pingpong, angkat berat, bocia, memanah dan catur.

Timbalan Datuk Bandarnya Aznan Hassan berkata program dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendedahkan komuniti setempat dengan keupayaan dan keperluan sukan untuk golongan terbabit.

“Seterusnya ia mewujudkan integrasi antara OKU dengan masyarakat normal di Petaling Jaya sejajar dasar sukan negara dengan peluang bersukan diberi kepada semua,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pelbagai program sukan pernah dianjur sebelum ini untuk OKU antaranya Karnival Para MBPJ dengan kerjasama Majlis Paralimpik Malaysia dari 2008 hingga 2019.

Menurut Aznan, sukan tersebut antaranya bocia, badminton, bola keranjang kerusi roda, tenis kerusi roda, bola sepak (cacat penglihatan, kudung dan masalah pembelajaran) serta catur.

Turut dianjur, katanya, Piala Datuk Bandar bagi sukan goal ball yang melibatkan golongan OKU penglihatan dari 2008 untuk memperkasa kebolehan mereka.

“Ia selari pelan Petaling Jaya Bandar Pintar, Mampan serta Daya Tahan 2030 yang menyasar penglibatan semua golongan termasuk kanak-kanak, wanita, warga emas, OKU serta golongan miskin,” katanya.

 


Pengarang :