Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman melancarkan Shah Alam E-Loyalty pada program Hari Mesra Sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-23 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di I-City Central, Shah Alam pada 24 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA sambut baik penubuhan suruhanjaya, perkukuh peranan PBT

SHAH ALAM, 19 NOV : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyambut baik langkah negeri menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada tahun depan.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman berkata pembentukan suruhanjaya memberi peluang kepada kakitangan berkongsi pengalaman sekali gus mewujudkan perkhidmatan PBT yang lebih cekap.

“Pada saya dengan memberikan pendedahan kita bekerja di PBT lain ia akan berikan ruang dan peluang kepada pegawai itu untuk berkongsi pengalaman masing-masing dalam membangunkan PBT.

“Malah, sekiranya suruhanjaya ini ditubuhkan ia juga dapat memberi peluang kenaikan pangkat yang cepat kepada kakitangan berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan MBSA di sini hari ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024 pada 10 November, Dato’ Menteri Besar mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan PBT bagi meningkatkan mutu perkhidmatan termasuk tempoh respon terhadap aduan rakyat.

Dijangka dibentuk pada suku ketiga 2024, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses pembentukan suruhanjaya itu akan dibahaskan dalam Sidang Dewan Negeri kali ini.

Jelasnya, penubuhannya bagi mewujudkan bandar berdaya huni dan mampan di setiap PBT sekali gus menjadikan Selangor sebagai negeri paling bersih.

Selangor mempunyai jumlah penduduk paling ramai di Malaysia yang kini sudah mencecah 7 juta. Antara cabaran utama urbanisasi adalah aspek seperti kepesatan penduduk, pengurusan sisa pepejal, penyelenggaraan jalan, pembersihan longkang dan persekitaran.


Pengarang :