Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (tengah) diiringi Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet bergambar bersama guru dan pelajar SMK Dato’ Ahmad Razali, Ampang sempena program Minggu Solidariti Palestin pada 2 November 2023. Foto Facebook Fadhlina Sidek
AGENDANASIONAL

Minggu Solidariti Palestin di institusi pendidikan raih kutipan dana RM9.2 juta

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Dana Kemanusiaan Palestin berjumlah RM9.2 juta telah berjaya dikutip sepanjang pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin bermula 29 Oktober hingga 3 November lepas melibatkan penyertaan ribuan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) seluruh negara.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Minggu Solidariti Palestin diadakan bertujuan mendidik murid dan warga KPM mengenai nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia, keamanan dan sifat ihsan.

Cek cura Dana Kemanusiaan Palestin itu telah diserahkan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek oleh Ketua Setiausaha KPM Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi pada Himpunan Solidariti Keamanan Sejagat yang merupakan aktiviti kemuncak dan penutup Minggu Solidariti Palestin di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Jumaat lepas.

Acara anjuran KPM itu telah melibatkan 800 murid daripada institusi pendidikan KPM dan lebih 200 pegawai KPM bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin serta menyokong nilai keamanan sejagat.

Antara pengisian utama acara berkenaan termasuk deklamasi sajak, persembahan lakonan dan nyanyian serta pidato kemanusiaan.

– BERNAMA


Pengarang :