Kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Selangor bergambar bersama sijil dua anugerah emas yang raih pada Konvensyen Antarabangsa Kawalan Mutu (ICQCC) 2023 di Beijing, China pada 1 November 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Selangor 
PBTSELANGOR

MPKS rangkul dua anugerah emas pada konvensyen kawalan mutu di China

SHAH ALAM, 4 NOV: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) merangkul dua anugerah emas pada Konvensyen Antarabangsa Kawalan Mutu (ICQCC) 2023 di Beijing, China pada 1 November.

MPKS memaklumkan, persidangan itu disertai 432 kumpulan Inovatif dan Kreatif (ICC) dari pelbagai negara termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, Korea, Taiwan, China dan India.

“Anugerah emas pertama diraih menerusi kumpulan Peharta daripada Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPKS yang mempertaruhkan produk ‘KASTILD’ (Kaunter Semak Timbangan Layan Diri).

“Ia mendapat pujian daripada juri antarabangsa kerana usaha MPKS dalam membendung aktiviti penipuan timbangan di dalam urus niaga,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bagi anugerah emas kedua, MPKS menambah, ia diraih menerusi kumpulan iCorp daripada Unit Korporat dan Perhubungan Awam pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menurutnya, kumpulan itu mempamerkan sistem e-Design sebagai medium untuk MPKS menyedia rekabentuk hebahan awam dengan tepat dan pantas.

“Penyertaan MPKS selaku wakil negara pada konvensyen ini berjaya mengharumkan nama Selangor. Ia merupakan hasil usaha berterusan MPKS dalam membudayakan inovasi demi pembangunan Kuala Selangor,” katanya.

 


Pengarang :