Foto Facebook Jabatan Perhutanan Negeri Selangor
AGENSISELANGOR

Musim tengkujuh, semua taman eko rimba di Selangor ditutup mulai esok

SHAH ALAM, 14 NOV: Semua aktiviti di taman eko rimba dan laluan pendakian bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Selangor akan ditutup kepada awam mulai esok sehingga 31 Januari 2024.

Menerusi poster di Facebook, jabatan itu memaklumkan penutupan sementara tersebut sebagai langkah berjaga-jaga berikutan musim tengkujuh yang boleh memberi risiko kepada pengunjung.

“Penutupan ini sebahagian daripada langkah berjaga-jaga berikutan musim tengkujuh yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada pengunjung,” maklum jabatan itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 atau musim tengkujuh di negara ini bermula pada 11 November dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Taman eko rimba bawah pengurusan Jabatan Perhutanan negeri antaranya Taman Eko Rimba Ampang, Taman Eko Rimba Gunung Nuang, Taman Eko Rimba Sungai Tekala, Taman Eko Rimba Komanwel, Taman Eko Rimba Sungai Tua dan Taman Eko Rimba Sungai Sendat.


Pengarang :