Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan majlis penyerahan Projek Negeri B27 dan Projek BOP di Prima Velox, Rawang pada 3 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Naik taraf jalan Rawang-Batang Berjuntai manfaat 100,000 pengguna

GOMBAK, 3 NOV: Kerja menaik taraf jalan Rawang-Batang Berjuntai yang siap sepenuhnya Mac lalu mengurai kesesakan trafik sekitar Rawang terutama pada waktu puncak.

Dato’ Menteri Besar berkata projek yang siap serentak dengan pembinaan jambatan atas Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dekat sini turut mengatasi isu banjir yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari lebih 100,000 penduduk sekitar Rawang dan kawasan berhampiran mendapat manfaat menerusi dua projek yang menelan belanja hampir RM100 juta.

“Isu kesesakan jalan ini berlaku sudah lama, lebih 20 tahun. Projek ini pun tertangguh lama sejak 2009 disebabkan perolehan rendah dan pihak kontraktor tak dapat buat.

“Jadi kita tawarkan semula tender dan kerja berjalan pada 2020 manakalan jambatan 2018. Sepatutnya siap lebih awal namun tertangguh sebab Covid-19,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan majlis penyerahan Projek Negeri B27 dan Projek BOP di Prima Velox, Rawang pada 3 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu beliau menyaksikan pertukaran dokumen dua projek terbabit antara Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor Lokman Nasir dengan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar.

Amirudin berkata kawasan sekitar Rawang akan menerima pembangunan pesat selepas projek jalan persekutuan berhampiran stesen kereta api Rawang hingga persimpangan tol Plus siap pada 2027.

“Projek ini bermula tahun lalu melibatkan kos RM445 juta. Dengan siapnya projek ini, keterhubungan lebih meluas termasuk naik taraf taraf Sungai Gong. Ini menjadikan kawasan bebas dengan kesesakan serta pencemaran,” katanya.


Pengarang :