Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kawasan terjejas banjir di Persimpangan Kiwa, Sepang pada 9 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri jumpa agensi berkaitan esok, kenal pasti punca ban kerap pecah

SEPANG, 9 NOV: Pentadbiran negeri akan bertemu agensi berkaitan esok bagi mengenal pasti punca ban kerap pecah hingga mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Dengkil.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bahan pembuatan ban ditukar selepas bah pada 2021, namun insiden sama berulang terutama di Kampung Cemperai dan Kampung Sri Tanjung.

“Kita kena cari penyelesaian segera untuk tangani isu ini, cuma bagaimana kita ingin membina ban yang lebih ampuh.

“Kita mahu tengok apa usaha dibuat setelah arahan jelas dikeluarkan bulan lepas bahawa tindakan konkrit harus dilakukan untuk mengelakkan banjir di kawasan titik panas,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan bola yang ditandatangani kepada seorang kanak-kanak ketika mangsa banjir di pusat pemindahan banjir sementara (PPS) di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Sepang pada 9 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas meninjau laluan di persimpangan lampu isyarat Kiwa dari Cyberjaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang sebelum ini ditutup akibat banjir kilat.

Sebelum itu, Amirudin melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil dan Dewan Orang Ramai Dato’ Ahmad Razali.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pembinaan ban sementara di kampung terbabit yang pecah akibat banjir pada Ahad siap dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Banjir mula surut dan kerja pembersihan sudah mula. Saya juga rujuk pihak jawatankuasa bencana daerah untuk bawa sukarelawan bagi membantu (pembersihan) pascabanjir,” katanya.

Hujan lebat pada Ahad mengakibatkan beberapa daerah negeri ini dilanda banjir. Susulan itu, 11 PPS dibuka bagi menempatkan 740 mangsa daripada 186 keluarga setakat pagi tadi.


Pengarang :