Pegawai Operasi Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Penyelaras DUN Gombak Setia, Din Yahaya membantu orang ramai membuat permohonan Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Negeri laksana skim mesra secara digital pertengahan tahun depan

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan Negeri sedang merancang ke arah mendigitalkan program skim mesra secara keseluruhan yang dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun depan.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata wujud keperluan mengautomasi proses kerja bagi meningkatkan mutu perkhidmatan susulan peningkatan permohonan skim itu tahun ini.

“Menerusi digitalisasi skim mesra, permohonan dan penebusan baucar boleh dibuat secara atas talian oleh pemohon, waris atau pusat khidmat, sama ada menerusi telefon bimbit atau komputer riba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan Selangor 2024) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Anfaal turut menafikan pendigitalan skim mesra bakal memberi kesan buruk terutamanya golongan warga emas dan penduduk luar bandar yang tidak mempunyai capaian internet.

Jelas wakil rakyat Taman Templer, ketika ini seramai 166,982 warga emas memiliki aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sejak ia diperkenalkan ketika pandemik Covid-19.

“Mengambil kira soal jurang digital bandar dan luar bandar, Kerajaan Negeri tetap akan menyediakan sokongan menerusi kerjasama pusat khidmat dan penyelaras yang akan membantu pemohon serta penebusan baucar,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar mengumumkan program skim mesra akan ditambah baik melalui sistem pendigitalan supaya permohonan pendaftaran dan penebusan baucar boleh dibuat dalam talian.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, penambahbaikan inisiatif meliputi Skim Mesra Usia Emas dan Skim Mesra Insan Istimewa itu dijangka melancarkan urusan pemohon dengan implikasi kewangan RM37.5 juta.

Sehingga kini, 547,269 didaftarkan sebagai ahli untuk menikmati manfaat baucar beli-belah RM150 setiap tahun dan khairat kematian bernilai RM500 kepada waris.


Pengarang :