EXCO Perumahan Borhan Aman Shah berucap ketika majlis penyampaian kunci Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora, Saujana Permai pada 25 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Negeri mampu sedia 60,000 unit rumah bawah RM250,000 menjelang 2025

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Negeri yakin dapat menyediakan 60,000 unit kediaman pada harga bawah RM250,000 seunit menjelang 2025.

EXCO perumahan berkata inisiatif menerusi Rumah Selangorku itu mampu dicapai dengan kerjasama pemaju swasta yang mempunyai pelbagai pengalaman membangun sesuatu kawasan.

“Kerajaan Negeri akan terus ikhtiar dalam membuktikan komitmen kepada rakyat supaya dapat mendiami rumah yang selesa, kondusif, berkualiti dan berbaloi pada harga mampu milik,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kunci Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora, Saujana Permai, Seksyen U17 di sini hari ini.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah menyampaikan replika kunci Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora, Saujana Permai kepada Muhammad Saidi Ibrahim pada 25 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Borhan turut menyampaikan replika kunci kepada pemilik disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki Mohamad Akmah Johari.

Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora di Saujana Permai menawarkan 90 unit kediaman berkeluasan 1,001 kaki persegi pada harga hanya RM185,000 seunit.

Kediaman yang mempunyai tiga bilik, dua tandas dan dua ruang parkir itu dibangunkan pemaju Johawaki Development Sdn Bhd (JDSB) di atas tanah berkeluasan 2.86 ekar.

Perumahan berkepadatan rendah setinggi lima tingkat itu turut dilengkapi dengan kemudahan lif, dewan serbaguna, tadika, taman permainan, pondok pengawal dan pejabat pengurusan.


Pengarang :