ADN Banting V Papparaidu ketika Majlis Apreasiasi Jasa Bakti Ketua Komuniti Kaum India (KKI) Negeri Selangor Sesi Lantikan 2021-2023 di Hotel Wyndham Achmar, Klang pada 30 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Negeri muktamad senarai Ketua Komuniti India, 80 peratus kekal

KLANG, 30 NOV: Kerajaan Negeri sedang memuktamadkan barisan Ketua Komuniti India (KKI) bagi sesi 2024/2025 selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata buat masa ini proses penetapan nama di peringkat akhir sebelum diumumkan secara rasmi.

“Kita dalam proses ‘final stage’ dan 80 peratus daripadanya akan dikekalkan sementara selebihnya tidak berikutan beberapa faktor seperti masalah kesihatan dan menarik diri.

“Perkara ini akan dimaklumkan selepas berbincang di MMKN dan akan umumkan secara rasmi nama-nama ketua yang bakal dilantik bagi tempoh dua tahun bermula 1 Januari depan,” katanya pada Majlis Apresiasi KKI hari ini.

Terdahulu, 62 individu menerima sijil penghargaan atas jasa dan perkhidmatan selama dua tahun dalam berkhidmat menjalankan program komuniti rakyat di kawasan masing-masing.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu bergambar bersama Ketua Komuniti India selepas Majlis Apreasiasi Jasa Bakti Ketua Komuniti Kaum India (KKI) Negeri Selangor Sesi Lantikan 2021-2023 di Hotel Wyndham Achmar, Klang pada 30 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Papparaidu yang juga wakil rakyat Banting menyarankan ketua komuniti membuat rangka kerja atau perancangan bagi tempoh setahun.

“Pelbagai program dijalankan ketua komuniti daripada perayaan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan kembali ke sekolah. Oleh itu, saya saran mereka buat rangka kerja mulai Januari hingga Disember supaya tiada sesiapa tercicir menerima bantuan.

“Mereka boleh bertemu dengan wakil rakyat kawasan masing-masing supaya rancangan diatur dapat dilaksanakan berbanding tidak dapat jalankan apa-apa program sebab masalah kewangan,” katanya.

KKI yang dilantik berperanan menjaga sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) penempatan India dan bertanggungjawab atas kemajuan serta keselamatannya.

Mereka juga perlu menyampaikan apa juga maklumat terkini, bantuan, segala dasar kepada penduduk dan terlibat dalam program Kerajaan Negeri.


Pengarang :