Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim (tengah) melakukn simbolik perasmian Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2023 Siri 2 di Seri Selangor Golf Club pada 2 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Negeri peruntuk RM2 juta lahir pelapis golf profesional

PETALING JAYA, 2 NOV: Sebanyak RM2 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi membangun sukan golf selain melahirkan pemain profesional pada masa akan datang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim berkata Selangor komited membangun sukan berkenaan di peringkat akar umbi dengan menganjur Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2023.

“Kita sedar Malaysia kekurangan atlet golf di peringkat antarabangsa, oleh itu dengan adanya program ini bakat-bakat pemain muda ini dapat dicungkil dan diketengahkan.

“Menerusi usaha ini, Kerajaan Negeri meletak satu bajet khusus kira-kira RM2 juta supaya negara mempunyai pelapis pada masa akan datang,” katanya pada perasmian kejohanan tersebut.

Hadir sama Setiausaha Kehormat Persatuan Golf Malaysia (MGA) Dato’ Zulkifli Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Golf Services Management Sdn Bhd Zubir Idrus dan Presiden University Utara Malaysia International Secondary School Melaka (UUMISM) David Jeong.

Pasukan Selangor ketika sidang media Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2023 Siri 2 di Seri Selangor Golf Club pada 2 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pertandingan siri 2 kembali dianjurkan di Kelab Golf Seri Selangor selama tiga hari bermula esok yang mana Kerajaan Negeri menjadi penaja utama.

Kejohanan itu menyaksikan 96 pemain remaja bakal berentap dalam dua kategori iaitu kumpulan dan individu dengan menampilkan pemain dari Filipina, Sri Lanka, Indonesia, Thailand, Singapura, China, Korea Selatan dan India.

Malaysia pula diwakili lima pasukan iaitu Selangor, UUMISM, MGA, Akademi Golf PKNS dan Pembangunan Golf Remaja Kebangsaan (NJGD) yang mana pemenang akan membawa pulang hadiah trofi dan medal.

Pada 5 Januari lalu, Selangor menjayakan Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 Siri 1 yang disertai 105 pemain remaja.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri bersetuju menjadi penaja utama kejohanan yang bertujuan menggilap bakat muda dalam sukan terbabit.


Pengarang :