SHAH ALAM, 18 NOV: Setiap pangsapuri di Selangor diseru mewujudkan kebun komuniti dengan memberi keutamaan kepada pengeluaran tanaman bernilai tinggi.
EXCO Pembangunan Bandar Lestari Borhan Aman Shah berkata peserta kebun perlu bersedia berubah terhadap cara berfikir, bertindak dan buat keputusan sebagai seorang usahawan.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, amat bersesuaian untuk kebun komuniti beri keutamaan kepada pengeluaran tanaman bernilai tinggi dan ada permintaan, supaya ia boleh beri pulangan modal kepada komuniti tersebut dan badan pengurusan bersama (JMB).
“Dalam keadaan harga jualan makanan meningkat begitu tinggi ketika ini, usaha penanaman sayuran berkelompok di kawasan terbiar, kediaman atau pangsapuri dapat mengurangkan sedikit sebanyak keperluan setempat.
“Paling tidak ia membantu keperluan isi rumah dan idea ini perlu diketengahkan sebagai usaha berterusan supaya dapat mengurangkan kebergantungan sayuran luar semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Anugerah Laman Hijau tahun 2023 di Pusat Konvensyen Midlands Seksyen 7 di sini hari ini.
Dalam majlis itu, JMB Kebun Komuniti Pegaga bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dinobat sebagai juara sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai RM8,000.
Borhan yang juga EXCO Perumahan percaya program laman hijau dan kebun komuniti adalah cara terbaik mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti khususnya di kediaman strata.
“Saya berharap penganjuran hari anugerah ini memberi inspirasi kepada setiap komuniti pangsapuri untuk melihat kebun mereka bukan hanya sebagai tanah yang ditanami tetapi sebagai asas pembinaan kelestarian dan kesatuan masyarakat.
“Tahniah diucapkan kepada yang berjaya dan yang tidak memenangi apa-apa teruskan usaha, jadikan ia sebagai motivasi untuk lebih berjaya pada tahun akan datang,” katanya.