Salah seorang penerima Bingkas Salina Damsah membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di Pasaraya Maju A&A, Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri tetapkan 16 barangan asas boleh dibeli penerima BINGKAS

SHAH ALAM, 15 NOV: Pentadbiran negeri menetapkan 16 barangan asas yang boleh dibeli penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) bagi memastikan mereka berbelanja secara berhemah.

Barangan itu meliputi beras, daging, ayam, ikan, sayur-sayuran, telur, tepung, mi, bihun, roti, rempah ratus, garam, gula, sos, kicap dan minyak masak, maklum EXCO kebajikan masyarakat.

Anfaal Saari menjelaskan makanan berproses, makanan segera dan makanan dalam tin tidak dibenarkan bagi menggalakkan penerima bantuan RM300 sebulan menyediakan menu berkhasiat kepada keluarga.

“Setakat 30 September, corak pembelian beras mencatat peratusan tertinggi iaitu 33.17 peratus, manakala rempah ratus, sos dan kicap 18.01 peratus. Daging atau makanan laut pula 13.49 peratus diikuti sayur-sayuran dan buah-buahan (7.21 peratus),” katanya.

EXCO Pembangunan Wanitan dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 15 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei berhubung corak pembelian barangan penerima BINGKAS dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anfaal berkata dasar pemisah (exit policy) turut ditetapkan bagi program terbabit dengan tempoh manfaat untuk penerima yang berdaftar selama 24 bulan sahaja.

“Pada bulan ke-22, penerima akan menerima notifikasi untuk mengemas kini maklumat mereka bagi pemutihan,” katanya yang juga wakil rakyat Taman Templer.

Inisiatif BINGKAS menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) merupakan skim terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) membabitkan peruntukan RM108 juta.

Menerusinya, setiap keluarga yang layak akan menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun dan bayaran diagihkan menerusi aplikasi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :