Persembahan tarian kuda kepang ketika majlis perasmian Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) edisi ke-33 di Royal Selangor Yacht Club, Klang pada 17 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri yakin capai sasaran 27 juta pelancong kunjungi Selangor tahun ini

KLANG, 18 NOV: Kerajaan Negeri yakin lebih 27 juta pelancong dari dalam dan luar negara kunjungi Selangor sehingga hujung tahun ini sekali gus mengatasi jumlah 22 juta tahun lalu.

EXCO pelancongan berkata setakat suku kedua tahun ini, negeri merekodkan 2.9 juta pelawat dan meraih hasil perbelanjaan pelancong domestik sebanyak RM21.9 bilion.

EXCO Pelancongan Ng Suee Lim berucap ketika majlis perasmian Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) edisi ke-33 di Royal Selangor Yacht Club, Klang pada 17 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya yakin sasaran dapat dicapai kerana Selangor jadi hab acara sukan seperti penganjuran kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR), jelajah berbasikal hingga maraton dan MotoGp.

“Trend terkini seperti sektor ekopelancongan dan pelancongan agro juga menarik jumlah pelancong yang tinggi,” katanya Ng Suee Lim ditemui selepas majlis perasmian RMSIR di Royal Selangor Yatch Club, Pelabuhan Klang di sini, malam tadi.

Menurutnya, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor giat menjalankan promosi untuk jadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama di negara.

Suee Lim memaklumkan, pihaknya telah merangka pelbagai program menarik untuk merancakkan lagi sektor pelancongan negeri pada tahun hadapan.

“Antaranya program seperti Selangor Cruise Festival, TUKANG Selangor 2.0 dan Selangor Travel Fair yang akan bermula sekurang-kurangnya pada suku kedua tahun hadapan,” katanya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli (tiga, kanan) diiringi EXCO Pelancongan Ng Suee Lim dan EXCO Belia Najwan Halimi merasmikan Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) edisi ke-33 di Royal Selangor Yacht Club, Klang pada 17 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada 2022, Selangor berjaya mengekalkan rekod nombor satu jumlah kedatangan pelancong domestik dengan catatan 22 juta jauh lebih tinggi berbanding negeri lain.

Angka itu sekali gus meletakkan Selangor sebagai negeri teratas meninggalkan Kuala Lumpur dengan 16.9 juta diikuti Sarawak (15.5 juta), Perak (14.6 juta) dan Pahang (13.2 juta).


Pengarang :