Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar di hadapan panel solar selepas majlis pelancaran program tenaga boleh diperbaharui untuk air dan kecekapan Air Selangor di Bukit Badong, Kuala Selangor pada 30 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pacu pembangunan mampan, sasar negeri pertama status neutral karbon

KUALA SELANGOR, 30 NOV: Selangor yakin menjadi negeri pertama mencapai lebih awal status neutral karbon daripada yang ditetapkan nasional pada 2050.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif Visi Tenaga Net Zero 2040 yang diperkenal Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjadi sebahagian daripada matlamat berkenaan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, komitmen untuk menangani dan mengadaptasi cabaran perubahan iklim merupakan salah satu daripada empat fokus utama dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Usaha Air Selangor adalah sebahagian daripada perancangan Kerajaan Negeri supaya Selangor menjadi negeri neutral karbon seiring atau lebih awal daripada hasrat nasional yang meletakkan garis masa tahun 2050.

“Itu adalah sebab mengapa saya menekankan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri mengenai pembangunan lestari. Kita harus mencari ruang untuk menjadi lebih mampan serta menepati piawaian amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Visi Tenaga Net Zero 2040 di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor di sini hari ini. Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir Abas Abdullah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan program tenaga boleh diperbaharui untuk air dan kecekapan Air Selangor di Bukit Badong, Kuala Selangor pada 30 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menerusi inisiatif berkenaan, LRA Sungai Selangor mampu menghasilkan tenaga boleh baharu selain menyedia bekalan air terawat yang lebih bersih dan selamat kepada 9.1 juta pengguna termasuk Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Amirudin berharap kerajaan dapat mempertimbang untuk menyediakan insentif kepada syarikat operator air yang berjaya mengurus bekalan air dengan cekap.

“Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk beri insentif kepada Air Selangor, sebagai contoh, yang berjaya urus dan menyedia tenaga boleh baharu atau tenaga solar.

“Namun ia bergantung kepada polisi kerajaan. Mungkin mereka ada pertimbangan sendiri. Tetapi ia beri semangat kepada kita untuk meneroka dan melakukan inisiatif tenaga boleh baharu,” katanya.

Kakitangan Heliosel memantau panel solar ketika majlis pelancaran program tenaga boleh diperbaharui untuk air dan kecekapan Air Selangor di Bukit Badong, Kuala Selangor pada 30 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Kakitangan Heliosel memantau panel solar ketika majlis pelancaran program tenaga boleh diperbaharui untuk air dan kecekapan Air Selangor di Bukit Badong, Kuala Selangor pada 30 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :