Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kawasan terjejas banjir di persimpangan Kiwa, Sepang pada 9 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pasang pam air di Sungai Labu, tangani banjir kilat di persimpangan Kiwa

SEPANG, 9 NOV: Sebuah pam air akan ditempatkan di Sungai Labu bagi mengatasi masalah banjir kilat di persimpangan lampu isyarat Kiwa, Kota Warisan di sini.

Dato’ Menteri Besar berkata laluan dari Cyberjaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu sering dilanda banjir apabila hujan lebat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau kawasan terjejas banjir di persimpangan Kiwa, Sepang pada 9 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kejadian banjir kilat di persimpangan ini sebenarnya kerap kali berlaku. Puncanya adalah disebabkan pergerakan air perlahan selain pembangunan yang rancak di sekitarnya.

“Kita ada penyelesaian jangka panjang tetapi untuk jangka pendek ini kita meletakkan pam supaya dapat mempercepat aliran apabila kadar air meningkat,“ kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas meninjau laluan di persimpangan berkenaan.

Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil dan Dewan Orang Ramai Dato’ Ahmad Razali.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan banjir sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Sepang pada 9 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau menambah Majlis Perbandaran Sepang juga akan mencari penyelesaian untuk mengalihkan air ke sungai berdekatan.

“Esok atau lusa akan mula projek tersebut dan kita akan usahakan untuk mengelakkan kejadian sama berulang di Kota Warisan,” katanya lagi.

Pada Ahad, sebahagian laluan di persimpangan lampu isyarat Kiwa ditutup kepada pengguna susulan banjir.


Pengarang :