Pengunjung memenuhi Pavilion Selangor bagi melihat tempat menarik untuk bercuti di Selangor ketika Fiesta Pusing Selangor Dulu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 2 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pavilion Selangor catat jualan RM1.03 juta di Pameran Matta, tertinggi sejak 12 tahun

KLANG, 18 NOV: Pavilion Selangor mencatat kutipan jualan RM1.03 juta menerusi penyertaan Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) 2023 pada September lalu.

EXCO Pelancongan Ng Suee Lim berkata pulangan jualan tersebut merupakan tertinggi sejak menyertai pameran berkenaan untuk tempoh 12 tahun berturut-turut.

EXCO Pelancongan Ng Suee Lim berucap ketika majlis Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) edisi ke-33 di Royal Selangor Yacht Club, Klang pada 17 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Dengan tema utama pada edisi kedua ‘Selangor as Malaysia’s Featured Destination, Tourism Selangor membuka lima Pavilion dan 21 produk pelancongan mendapat sambutan hangat dari pengunjung.

“Ia merupakan komitmen negeri menarik lebih ramai pelawat domestik untuk mengunjungi Selangor melalui kempen ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian Raja Muda Selangor International Regatta 2023 di Royal Selangor Yatch Club, Pelabuhan Klang di sini, malam tadi.

Suee Lim menambah pelbagai segmentasi dengan tarikan pelancongan yang banyak akan disediakan bagi mengukuhkan lagi pelancongan domestik negeri ini untuk merealisasikan visi Tahun Melawat Selangor 2025.

Pada 2022, Selangor berjaya mengekalkan rekod nombor satu jumlah kedatangan pelancong domestik dengan catatan 22 juta jauh lebih tinggi berbanding negeri lain.

Angka itu sekali gus meletakkan Selangor sebagai negeri teratas meninggalkan Kuala Lumpur dengan 16.9 juta diikuti Sarawak (15.5 juta), Perak (14.6 juta) dan Pahang (13.2 juta).


Pengarang :