EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin (tengah) melakukan gimik perasmian Program Tanam Pokok Perdana anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di kawasan lapang 2, Taman Perdagangan Elmina, Rawang pada 25 November 2023. Foto Facebook MPS
EXCOSELANGOR

PBT, agensi diseru lipat ganda usaha, capai sasaran tanam 26 juta pokok

SHAH ALAM, 27 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan diseru melipat ganda usaha dengan agensi swasta bagi mencapai sasaran penanaman 26 juta pokok di Selangor menjelang 2026.

EXCO alam sekitar berkata inisiatif itu bagi menyahut titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang memberi tempoh tersebut untuk menyempurnakan sasaran penanaman, sebagai simbolik 26 tahun pemerintahan Baginda.

Jelas Jamaliah Jamaluddin usaha juga bertepatan teras tiga Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menumpukan lima sektor iaitu daya tahan dan pengurusan bencana, pengurusan air, negeri rendah karbon, pengurusan sisa serta biodiversiti dan sumber asli.

“Kehijauan pokok yang diidamkan bukan sahaja bakal menyejukkan mata dan iklim sekitar malah berperanan penting dalam merendahkan tahap karbon selain bertindak tempat tadahan hujan serta memperkaya biodiversiti negeri ini.

“Maka usahasama skala besar antara sektor awam dan swasta termasuk dedikasi orang awam sangat mustahak bagi menjayakan sasaran tersebut,” katanya kepada Selangorkini.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin ketika berucap merasmikan Program Tanam Pokok Perdana anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di kawasan lapang 2, Taman Perdagangan Elmina, Rawang pada 25 November 2023. Foto Facebook MPS

Pada Sabtu, beliau merasmikan kempen tanam pokok perdana anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di tiga lokasi membabitkan kawasan lapang 2, Taman Perdagangan Elmina; Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Batu, Gombak dan Taman Pinggiran Pelangi, Rawang.

Sebanyak 20 jenis pokok ditanam 100 sukarelawan pada program itu antaranya Tecoma, Eugenia, Jasmine, Ixora, Bougainvillea, Bucida dan Molineti

Memuji pendekatan PBT terbabit, Jamaliah berkata program itu menjadi sebahagian hasrat pentadbiran ini untuk mewujudkan persekitaran semulajadi yang segar sekali gus membantu menambah bilangan pokok di Selangor.

Beliau juga mengucapkan tahniah atas kejayaan MPS menanam lebih 35,000 pokok bawah pentadbirannya sejak awal tahun hingga Oktober selain berharap komitmen diteruskan bagi merealisasi hasrat negeri.

Belanjawan 2024 memperuntuk RM400,000 bagi pelaksanaan inisiatif penanaman pokok ke arah mencapai sasaran 11 juta pokok ditanam menjelang 2026.

Ia adalah usaha memulihara dan menghijau kembali kawasan hutan yang diteroka selain sebahagian usaha mengekalkan sehingga 31 peratus gazet kawasan hutan simpan kekal.


Pengarang :