EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berucap merasmikan Program S-KAF MPKj (PBT pertama di Malaysia) di Dewan Perdana Kem PGA Cheras, Kajang pada 19 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

PBT disaran proaktif cegah denggi, pilih kaedah ikut keperluan setempat

HULU LANGAT, 19 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran proaktif mencari kaedah berkesan mencegah kes denggi di kawasan masing-masing, kata EXCO kesihatan awam.

Jamaliah Jamaluddin berkata setiap kawasan mempunyai isu dan keperluan tertentu justeru pendekatan yang digunakan perlu sesuai dan menepati keperluan setempat.

“Kerajaan Negeri melalui jawatankuasa berkaitan denggi sentiasa memantau dan mengadakan perbincangan dengan semua PBT mengenai inisiatif yang dijalankan.

“(Pendekatan dan kaedah) bergantung kepada keadaan (dan keperluan) masing-masing. Ada PBT yang (pembiakan nyamuk) lebih banyak di persekitaran luar dan ada yang dalam bangunan atau rumah tinggal.

“Bergantung kepada keadaan dan kawasan setiap PBT ada inisiatif berbeza seperti MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) menggunakan nyamuk wolbachia,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan sukarelawan Killing Aedes From Inside (S-KAF) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Markas Briged Tengah, PGA Cheras di sini hari ini.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin diberi penerangan mengenai kaedah terbaru membunuh nyamuk aedes pada majlis perasmian Program S-KAF MPKj (PBT pertama di Malaysia) di Dewan Perdana Kem PGA Cheras, Kajang pada 19 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Jamaliah turut memuji inisiatif dilaksanakan MPKj ke arah menangani demam denggi dan penyakit bawaan nyamuk secara inklusif.

“Ini antara lain berupaya mengendalikan isu denggi dan pembiakan nyamuk dari dalam bangunan sesuai keperluan PBT ini,” katanya.

S-KAF adalah program kerjasama pintar dengan persatuan penduduk merangkumi bantuan teknikal, logistik dan bimbingan pemusnahan tapak pembiakan nyamuk.

Projek rintisnya dimulakan dengan penyertaan 10 persatuan penduduk yang menerima bantuan teknikal kaedah memusnahkan nyamuk dan jentik-jentik iaitu semburan mistaway, mirakn dan bimobet.


Pengarang :