SHAH ALAM, 2 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa menjalankan kerja memangkas dahan terutama pokok berusia demi memastikan keselamatan awam terjaga.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim berkata bagaimanapun beberapa kejadian pokok tumbang yang berlaku minggu ini tidak dapat dielakkan ekoran ribut kuat.
“Dalam rutin PBT memang ada kerja memangkas pokok dan dahan tetapi ribut terlampau kuat hingga pokok tumbang.
“Kalau (ribut) normal, pokok tidak akan tumbang. Bagaimanapun PBT ambil tindakan pantas membersihkan kawasan terjejas dengan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis perasmian pusat operasi bencana Petaling di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling di sini hari ini.
Kelmarin seorang wanita berusia 40-an maut selepas kereta dipandunya dihempap pokok tumbang ketika melalui Jalan Ulu Yam-Gombak.
Kejadian ribut kuat petang semalam turut menyebabkan pokok tumbang hingga merosakkan kenderaan awam dibeberapa lokasi antaranya di Shah Alam, Kota Damansara, Bandar Sri Damansara, Pasir Panjang dan Kajang.