PETALING JAYA, 30 NOV: Seramai 500 penduduk termasuk 20 pelajar Akademi Tahfiz Masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Subang menghadiri solat hajat anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia malam ini.
Wakil rakyatnya Dr Fahmi Ngah berkata program yang pertama kali di Masjid Ara Damansara di sini sebagai tanda keprihatinan terhadap konflik di Gaza selain mendoakan kesejahteraan umat Islam di sana.
“Selain itu pengisian program juga diadakan Qunut Nazilah dan bacaan Yasin untuk kita mendoakan keselamatan rakyat Palestin.
“Turut didoakan agar gencatan senjata yang berlaku sekarang ini di antara kedua-dua pihak berterusan dan kesengsaraan penduduk Gaza dihentikan,” katanya ketika ditemui.
Program turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet. Bacaan Yassin dan solat hajat dipimpin Penolong Pengurus Masjid Ara Damansara Kamarul Ikram Misnan.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/P-HajatYassin-1-500x333.jpg.webp)
Fahmi menambah pihaknya berhasrat memperluas program ini ke seluruh DUN termasuk di kawasan wakil rakyat pembangkang.
“Insya-Allah saya selaku EXCO agama akan teruskan anjur program ini di seluruh masjid negeri Selangor dengan sokongan dari pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
“Kita mahu mengalakkan orang muda yang beragama Islam untuk turut serta dan akan jalani kempen melalui sosial media,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/11/P-HajatYassin-2-500x333.jpg.webp)