Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan wakil rakyat ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 16 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pentadbiran negeri terbuka terima kritikan, beri banyak ruang pembangkang berbahas

GOMBAK, 18 NOV: Pentadbiran negeri sentiasa terbuka menerima kritikan termasuk memberi banyak ruang kepada blok pembangkang berbahas pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Dato’ Menteri Besar bagaimanapun mengingatkan pembangkang supaya membahaskan perkara berdasarkan fakta dan angka bukannya fitnah yang menyebabkan perpecahan.

“Yang jadi pembangkang, teruskan menegur… malah di dewan saya beri ruang ketua pembangkang untuk berbahas. Malah, lanjutkan perbahasan sehingga 7 malam untuk beri ruang kepada semua bercakap selain kerajaan menjawab semua diusulkan pembangkang.

“Hendak bangkang boleh, tetapi kenalah betul, bukannya sepanjang waktu. Kalau semua hendak jadikan isu, kita akan berpecah belah dan membawa musibah serta keburukan.

“Hendak kritik boleh tetapi biar dengan fakta dan angka bukannya fitnah. Tamadun tidak dibina dengan fitnah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis perasmian program Khidmat Komuniti Madani di Taman Berlian di sini, hari ini.

Sidang DNS dijangka berlangsung selama dua minggu hingga 24 November bermula dengan pembentangan Belanjawan Selangor 2024 pada 10 November lalu.

Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung sidang DNS melalui laman sesawang SelangorTV selain Facebook Media Selangor dan Amirudin Shari.

Pada 19 Oktober, Sultan Selangor menitahkan supaya perdebatan dalam sidang DNS berlangsung dengan tertib dan mengikut peraturan tanpa dicemari penggunaan bahasa kasar serta tidak sopan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mengingatkan perjalanan sidang dewan tidak harus dicemari dengan perangai yang boleh dianggap sebagai tidak bertamadun.


Pengarang :