Penerima bantuan blueprint dan bantuan i-SEED melihat peralatan yang diterima selepas majilis Penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED) daerah Klang di Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Klang pada 14 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Perkasa program bantuan blueprint, tingkat sumber pendapatan B40

SHAH ALAM, 17 NOV: Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan akan diperkasa menerusi tumpuan kepada tiga segmen utama ke arah meningkatkan taraf hidup golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata antara segmen fokus termasuk kemiskinan pendapatan iaitu meneruskan pemberian peralatan dan mesin untuk membantu B40 meningkatkan sumber pendapatan bulanan.

“Selain itu mengubah kemiskinan minda dan sikap melalui kursus dan latihan kepada golongan miskin dalam lingkungan umur produktif 15 hingga 60 tahun dalam usaha memberikan mereka kemahiran baharu serta menggilap kemahiran sedia ada.

“Selain itu pelaksanaan kajian pembasmian kemiskinan bagi menentukan cabaran menoktahkan kemiskinan akan dilaksanakan bagi mengeluarkan golongan terbabit daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan Selangor 2024) di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Selain itu, Papparaidu berkata pihaknya menyambut baik cadangan mewujudkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kepada golongan rentan termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan bekas banduan.

“Perkara itu merupakan perancangan untuk dijadikan sasaran kerja tahunan di bawah portfolio sumber manusia pada tahun hadapan ke arah mengurangkan peratusan kadar pengangguran melibatkan golongan itu di Selangor.

“Bagi tujuan itu Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia akan bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan syarikat HRD Corp untuk penganjuran program berkonsepkan latihan atau kemahiran kepada pencari kerja termasuk golongan rentan,” katanya.

 


Pengarang :