Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis perasmian penyerahan kunci 420 unit Pangsapuri Selangorku @ Seri Temenggung di Pangsapuri Seri Temenggung, Gombak pada 22 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peruntuk RM10 juta cat pangsapuri, baiki kemudahan

SHAH ALAM, 11 NOV: Projek mengecat dan memperbaiki fasiliti pangsapuri dibawah Projek Selangor Penyayang (PSP) diteruskan pada tahun depan dengan peruntukan RM10 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri juga mengagihkan dana RM250,000 kepada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pelaksanaan PSP membabitkan jumlah keseluruhan RM14 juta.

“Setakat ini, 626 projek PSP di 56 DUN termasuk usaha mengecat pangsapuri kos sederhana dan kos rendah serta memberi nafas baharu di kawasan persekitaran penduduk,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 semalam.

Kerajaan Negeri juga membuat ketetapan khas bahawa setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menggunakan 10 peratus dari rizab kewangan khusus bagi tujuan membaik pulih infrastruktur dan fasiliti awam.

Ketetapan khas itu adalah tambahan kepada perbelanjaan yang telah ditentukan untuk tahun hadapan.

“Perbelanjaan ini perlu difokuskan kepada kemudahan fizikal seperti jalan raya, stesen pengangkutan, elemen keselamatan, fasiliti sukan, saliran air seperti kolam takungan dan kebersihan kawasan supaya tahap persekitaran setiap PBT tidak kira bandar atau luar bandar, dapat diperbaiki bagi kemaslahatan rakyat,” katanya.

Pada tahun hadapan, pentadbiran itu mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor, termasuk tempoh respon kepada aduan rakyat dalam tempoh 24 jam.


Pengarang :