Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 24 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peruntukan munasabah untuk pembangunan, tertinggi banding negeri lain

SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan munasabah bagi perbelanjaan pembangunan tahun depan, malah jumlahnya tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan jumlah tersebut juga mengatasi peruntukan di peringkat persekutuan yang masih kekal antara 20 ke 25 peratus.

Bercakap pada sesi penggulungan usul bajet dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, beliau berkata strategi penting negeri adalah pentadbiran cekap, amanah dan berintegriti.

“Negeri pesaing daripada segi industri seperti Pulau Pinang memperuntuk belanjawan pembangunan sebanyak 25 peratus, manakala Terengganu 26 peratus dan Johor 36 peratus.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 24 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Di Malaysia, Sarawak beri saingan hebat. Belanjawan pembangunan sahaja 69 peratus kerana memiliki royalti dan dana pembangunan infrastruktur sebahagian di bahu kerajaan persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Selangor berada pada landasan baik dalam menggunakan perbelanjaan mengurus sekitar 92 peratus dan komited menambah baik pada masa hadapan.

“Kita terima pandangan untuk lebihkan tetapi kena tengok juga kemampuan. Kalau sudah sepenuhnya pendigitalan, ia akan memotong atau mengurangkan perbelanjaan lain,” katanya.

Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM2.53 bilion dengan RM1.33 bilion atau 52.6 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus, manakala selebihnya bagi pembangunan.

Perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan merupakan komponen terbesar mengurus antaranya kenaikan gaji penjawat awam kontrak, elaun guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain serta petugas masjid.


Pengarang :