Peserta menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring sempena Jelajah kita Selangor Penyayang daerah Petaling di Sekolah Rendah Agama Kampung Medan 2, Petaling Jaya pada 12 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peruntukan RM59.7 juta perkukuh pelan tindakan kesihatan awam negeri

SHAH ALAM, 13 NOV: Peruntukan RM59.7 juta bagi meneruskan agenda kesihatan awam membuktikan komitmen pentadbiran Selangor memperkukuh pelan tindakan kesihatan awam negeri ini.

Ahli Penasihat Kesihatan Awam Negeri Dr Mohammad Farhan Rusli berkata dana besar diumum dalam Belanjawan Selangor 2024 jelas mencerminkan keprihatinan terhadap aspek kesihatan rakyat.

Mengambil contoh peruntukan RM35 juta bagi kesinambungan program Iltizam Selangor Sihat (ISS), beliau menjelaskan langkah itu membantu pemegang polisi mendapat rawatan segera di klinik swasta.

“Ia langkah tepat yang kita buat sejak empat tahun lepas dan sekali gus mengukuhkan lagi pelan tindakan kesihatan awam di Selangor.

“ISS juga diadaptasi kepada kerajaan Persekutuan melalui Skim Perubatan Madani sekali gus menunjukkan ia langkah tepat yang dibuat Keraajan Selangor sejak empat tahun lepas,” katanya ketika dihubungi.

Mohammad Farhan menambah kesihatan awam tahun depan turut memfokuskan inisiatif sedia ada seperti kesihatan mental, Anak Selangor Anak Sihat dan rawatan mata termasuk skim rawatan jantung.

“Walaupun tidak diumum (dalam belanjawan), tetapi aspek ini juga diberi keutamaan oleh pentadbiran negeri termasuk menangani masalah penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol,” katanya.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 mengumumkan peruntukan RM59.7 juta bagi pelaksanaan program dan inisiatif kesihatan awam.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ISS turut diteruskan dengan peruntukan RM35 juta yang memberi manfaat kepada 100,000 pemegang polisi utama dan anggaran 150,000 ahli keluarga berdaftar.

Setiap pemegang polisi ISS layak mendapat rawatan asas dan vaksinasi berjumlah RM500 setahun bagi kategori keluarga manakala individu RM250 setahun di mana-mana klinik panel seluruh negeri.

Tumpuan lain aspek kesihatan awam merangkumi:

1. Manfaat hospitalisasi kepada semua penerima ISS berjumlah sehingga RM10,000 setahun di hospital panel terpilih
2. Manfaat penyakit kritikal RM5,000 dan kematian semulajadi dengan amaun sama
3. Peruntukan RM5 juta meneruskan Bantuan Sihat Selangor (BSS) yang diperkenal sejak 2009


Pengarang :